Borak Bersama Syewe Yoss - Pemenang Ketiga CKOM2015

Pemenang Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM2015) telah kita ketahui. Tahniah! di ucapkan sekali lagi kepada pemenang. Pastinya anda ingin tahu lebih lanjut tentang pemenang-pemenang tersebut. Untuk itu segmen 'BORAK' di perkenalkan.
BORAK adalah sebuah wawancara atau temubual secara santai bersama pelukis komik. Kita akan mengetahui bagaimana pelukis komik mendapat inspirasi, tips dan teknik untuk melukis komik, melukis guna manual atau digital dan banyak lagi yang akan di kongsikan.

Bagi segmen borak kali ini, kita akan berborak bersama pemenang tempat ketiga CKOM2015 iaitu saudari Syewe Yoss. Ikuti di perbualan ini yang di buat melalui email.

1. Boleh cerita serba sedikit berkenaan diri anda, dan bagaimana anda bermula melukis komik?
Seperti kanak-kanak lain, saya juga suka menonton kartun dan membaca komik sejak kecil, malah kebanyakan ahli keluarga saya (pakcik dan makcik) juga meminati anime dan manga membuatkan saya membelek banyak komik sebelum saya mampu membaca lagi. Saya mula melukis pada umur 4 tahun dengan meniru anime yang ditonton dan juga objek di sekeliling dan mula melukis komik pada umur 8 tahun. 

Dengan galakan keluarga dan rakan sekelas, saya berjaya menghasilkan lebih 10 tajuk komik rip off daripada komik-komik yang saya baca, menggunakan buku latihan sekolah, 1-5 jilid setiap tajuk, lebih 10 jilid untuk satu tajuk, sepanjang fasa sekolah rendah, untuk bacaan sendiri. adik-beradik dan rakan sekelas. 

Stail lukisan saya akan berubah mengikut manga yang saya baca pada bulan itu, dan sentiasa berubah sehingga saya berada di sekolah menengah di mana saya berhenti melukis dengan aktif untuk fokus pada peperiksaan-peperiksaan besar. 

Saya mula belajar mengunakan dakwat (inking) dalam tingkatan 4 sewaktu saya ditawarkan untuk menjadi pelukis flyers sekolah, dan saya sekali lagi berhenti melukis pada tahun pertama saya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan untuk lebih fokus dengan kuliah dan peperiksaan, walaupun pada waktu itu saya sudah mula mempunyai stail lukisan yang agak konsisten. 
Namun pada tahun 2 pengajian, saya mula mendalami korean fandom dan saya kembali melukis. Apabila karya pertama saya mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada fandom antarabangsa, saya mula melukis lebih banyak korean fanart. Dalam masa yang sama, saya menyertai kelab kartunis di universiti dan melukis banyak komik dan poster untuk program dan risalah. Disebabkan kuliah yang padat, saya berhenti melukis untuk fandom dan hari ini saya hanya melukis sebagai hobi masa lapang.

2. Boleh jelaskan cara anda menghasilkan komik untuk CKOM2015 dari idea hingga ke akhir?

Saya mendapat ilham untuk CKOM2015 ini daripada kehidupan di sekeling saya, kematian nenek-nenek saya, reaksi datuk saya, keluarga saya, dan juga beberapa pengalaman hidup saya sendiri, serta hasil pemerhatian dan pertanyaan pada orang-orang terdekat. 
Mood penyampaian pula saya mendapat pengaruh daripada manga-manga pelukis kegemaran saya. Pada awalnya saya hanya ingin menulis cerita mengenai lelaki(datuk) yang sangat sukar untuk bercakap jujur, tidak pernah melafazkan sayang pada keluarga sehingga kematian isterinya, dan cucunya hanyalah sebagai pencerita, malangnya saya telah menambah terlalu banyak masalah dalam hidup cucu(Afiy) itu sendiri sehingga kisah cintanya menjadi jalan utama untuk komik ini pula (hahaha). 

Memandangkan saya sudah menjadikan cerita ini sebuah komik klise drama melayu, maka saya cuba sebaiknya untuk memberi sebanyak detail yang mungkin dan mengambil kesempatan untuk menempelak pemuda-pemudi kita yang tidak mengambil kira nilai agama dan moral dalam hubungan romantik mahupun persahabatan. 

Saya mula melakar di atas kertas, scan ke komputer dan mula melukis secara digital menggunakan software Paint Tool SAI, dan menambah dialog menggunakan software Adobe Photoshop. Saya mengambil masa lebih seminggu untuk menyiapkan 'lineart' dan 'toning' sahaja, sewaktu memasukkan dialog, saya mula berputus asa dan menyesal kerana menulis cerita yang terlalu panjang hanya untuk komik 10 muka surat. Namun atas galakan kuat daripada ibu dan bapa, saya berjaya juga menyempurnakan komik ' Harga ' ini.

3. Anda melukis secara digital atau manual? Mengapa?
Saya boleh melukis secara kedua-dua digital dan manual. Bagi saya, melukis komik secara manual memberi lebih kepuasan, lebih detail dan lebih mudah berbanding digital, tetapi saya akan menggunakan digital untuk melukis panel, membaiki proportion dan anatomi, dan juga untuk 'inking' dengan lebih pantas. saya juga menggunakan digital untuk menambah screetone, 'instant background and effects', dan dialog. Untuk illustrasi berwarna, saya lebih menggunakan digital kerana ia lebih mudah, 'lineart' yang lebih licin, warna lebih rata dan data fail yang lebih fleksibel untuk 'marketing' terutamanya.

4. Apa definasi anda tentang Komik Malaysia?

Komik yang berlatarkan tempat, watak, dan budaya masyarakat Malaysia. Tidak terhad kepada stail lukisan, stroke atau mood seperti kartunis-kartunis veteran kita. Ramai pelukis tempatan kita yang sudah buktikan perkara ini, atau mungkin juga kerana stail lukisan saya yang kurang ke-Malaysia-an. Walau bagaimanapun saya sangat berharap saya dapat membawa dan menghidupkan nilai moral serasi dengan masyarakat kita dalam komik saya pada masa hadapan, jika berkesempatan.

5. Nasihat untuk pelukis komik baru?

Jangan gopoh untuk bina stail sendiri, banyakkan berlatih, tak salah meniru untuk belajar, bakat boleh disemai, "Practice makes permanent". Jangan terlalu membandingkan diri sendiri dengan orang lain melainkan untuk improve, selalu yakin "Nothing can beat hardwork".

" Practice makes permanent,Nothing can beat hardwork "

Jangan gelojoh untuk mengambil bidang berkaitan dengan lukisan, ambil hati ibu ayah, banyakkan bersabar, jaga hubungan, buktikan dengan artwork dan pencapaian, bukan dengan kata-kata. Banyakkan membaca, pelbagaikan genre, buat analisa dan review setiap cerita/movie/drama yang dibaca/ditonton. 
Baiki niat kenapa anda ingin berkarya, pastikan bukan untuk populariti. Jangan melatah dan jangan putus asa bila dikritik dan jangan terlalu bangga dan lupa diri bila dipuji. Semoga komik Malaysia terus maju dan mampu memberi manfaat dan kesedaran kepada masyarakat bukan hanya untuk hobi semata-mata.

6. Dan, akhir sekali pandangan anda tentang laman website matkomik.
Sangat menarik untuk peminat manga yang menginginkan sentuhan kenegaraan dalam komik, dan juga sangat berguna sebagai pentas pelukis-pelukis baru negara berkongsi karya dengan pembaca, memandangkan peluang penerbitan dan pemasaran komik yang sukar pada hari ini. Pembaca juga dapat memberi feedback kepada pelukis untuk improve atau galakan untuk terus melukis. Malaysia memerlukan lebih banyak lagi website komik seperti ini, tahniah Matkomik!

Media Sosial Syewe Yoss:


Kredit : Facebook Page Syewe Yoss

Comments

Popular posts from this blog

CKOM9 - KOMIK A.I TIDAK DIBENARKAN SERTAI!

CKOM8 BERMULA - UMUR BAWAH 15 TAHUN PUN BOLEH JOIN!

Cara Hantar Komik Secara Online